KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini dengan tegas menolak data tidak tepat mengenai kadar pertukaran ringgit yang sedang tersebar menerusi media sosial berdasarkan kadar pertukaran USD/MYR yang salah diterbitkan oleh Google pada 15 Mac, 2024.

“Maklumat ini tidak tepat dan tidak mencerminkan dagangan sebenar,” menurut BNM dalam kenyataan.

Bank pusat menjelaskan pada Jumaat 15 Mac, 2024 kadar pertukaran USD/MYR berada pada 4.7015 pada pukul 9 pagi, dan 4.7045 pada pukul 5 petang dengan kadar intrahari tinggi sebanyak 4.7075 dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit, seperti yang diterbitkan dalam laman sesawang BNM.

Sepanjang dua minggu lepas (1-15 Mac 2024), nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 0.76 peratus berbanding dengan dolar AS, tambahnya.

BNM memaklumkan bahawa insiden itu merupakan kali kedua Google menerbitkan data kadar pertukaran USD/MYR yang tidak tepat pada 2024.

Bank pusat itu telah menghantar surat peringatan tegas kepada Google semasa salah lapor pertama terjadi pada 6 Feb, 2024, tambahnya.

“Susulan insiden salah lapor yang kedua ini, BNM akan menghubungi Google sekali lagi untuk mendapatkan penjelasan tentang punca pelaporan yang tidak tepat ini berlaku dan langkah-langkah pembetulan yang dibuat memandangkan isu yang berulang ini telah menjejaskan Malaysia dan banyak negara lain sejak beberapa bulan yang lalu,” tegas BNM.

Bank pusat menasihatkan orang ramai supaya merujuk data rasmi, termasuk data daripada BNM.

Orang ramai juga perlu mengelak daripada menggunakan, menyebarkan atau membuat spekulasi berhubung dengan sumber yang tidak disahkan sebagai rujukan bagi ringgit, jelasnya.

“Kadar pertukaran mata wang asing ialah data sensitif bagi pasaran serta sebarang pelaporan tidak tepat dan penyebaran data yang tidak disahkan boleh menyebabkan kesan serius ke atas pasaran kewangan,” tambah BNM.

Ringgit rendah berbanding dolar AS semasa mengakhiri dagangan minggu ini, begitu juga dengan prestasi mata wang serantau, berikutan data Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Pada 6 petang Jumaat, ringgit susut kepada 4.7050/7095 berbanding dolar AS daripada 4.6845/6878 ketika ditutup pada Khamis. -Bernama