KUANTAN: Pahang dijangka merekodkan purata 90 hingga 100 kes positif Covid-19 sehari bersamaan 600 hingga 700 kes seminggu pada awal Jun sekiranya masyarakat masih tidak patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah berkata ia sekali gus akan menyebabkan peningkatan jumlah pesakit aktif mencecah 1,700 orang iaitu melebihi kapasiti wad hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di negeri itu.

Menurutnya, setakat Ahad lepas terdapat 5,789 kes Covid-19 direkodkan di Pahang yang turut menyaksikan peningkatan kes secara konsisten bermula pertengahan Mac sehingga kini.

Katanya, pada awal Mac, purata sebanyak 10 hingga 20 kes sehari dilaporkan tetapi telah meningkat kepada purata 70 kes sehari terutama di daerah Bentong, Raub dan Kuantan dengan R-naught (Rt) bagi Pahang sehingga 9 Mei ialah 1.26.

“Pesakit kategori empat dan lima di Pahang juga telah meningkat daripada dua peratus kepada 3.8 peratus, malah jumlah kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU) juga telah bertambah hampir tiga kali ganda daripada biasa,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, jika keadaan ini berterusan jumlah pesakit yang memerlukan penjagaan di ICU akan melebihi keupayaan hospital-hospital di Pahang.

Justeru, Dr Bahari menasihatkan masyarakat supaya mematuhi SOP terutama sewaktu membuat persiapan dan menyambut Aidilfitri dengan mengelakkan 3S iaitu sesak, sempit dan sembang dekat serta amalkan 3W cuci tangan (wash), pakai pelitup muka (wear) dan peringatan (warn).

-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image