Cuaca panas: Melaka laksana pelan kontigensi pastikan paras empangan kekal normal

MELAKA: Berikutan fenomena cuaca panas dan kurang hujan yang melanda negara ketika ini, kerajaan negeri Melaka mengambil langkah awal menyediakan beberapa pelan kontigensi bagi memastikan paras empangan kekal normal.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata langkah itu diambil kerajaan negeri berdasarkan trend cuaca sejak akhir Januari sehingga kini yang menunjukkan pengurangan taburan hujan yang ketara, sekali gus memberi impak kepada kapasiti takungan sumber air mentah.

“Antaranya ialah langkah mengepam 47 juta gelen air sehari dari Sungai Grisek, Muar ke Empangan Durian Tunggal, selain mengepam 15 juta liter air sehari dari Tasik Ayer Keroh ke Sungai Melaka dari 4 Feb hingga 8 Mac lepas melalui Sungai Anak Ayer Padang Keladi.

“Juga langkah mengepam lima juta liter air sehari dari Kolam Kesang 1 ke Sungai Melaka, melepaskan air dari Empangan Durian Tunggal ke Loji Air Bertam dan Loji Air Bukit Sebukor, mengepam air dari Empangan Jus ke Empangan Durian Tunggal dan lain-lain,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Tasik Ayer Keroh di sini dan turut dihadir ialah Timbalannya Zahari Abd Kalil dan Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri Azizul Adzran Mahmor.

Mengulas lanjut Hameed berkata kerajaan negeri juga telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Meterologi Malaysia (MET) bagi melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA), namun mungkin pihak berkenaan melihat masih belum ada keperluan untuk melakukan proses itu di Melaka buat masa ini.

Beliau berkata pihaknya juga memberi jaminan bekalan air di negeri ini mencukupi sehingga Jun depan termasuk untuk kegunaan penduduk pada perayaan Aidilfitri berikutan paras air terkini di tiga empangan utama masih di paras normal iaitu Empangan Durian Tunggal (80 peratus), Empangan Jus (95.7 peratus) dan Empangan Asahan (95.5 peratus).

“Insya-Allah bekalan air masih mencukupi pada sambutan Hari Raya Aidilfitri dan tiada catuan dilakukan, namun kita berharap rakyat di negeri ini juga dapat memberi kerjasama dengan menjimatkan penggunaan air.

“Penduduk juga digesa melaporkan kepada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) jika berlaku kebocoran paip untuk mengelak pembaziran,“ katanya. -Bernama

Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (tengah)/BERNAMAPix