GEORGE TOWN: Polis menahan enam individu termasuk sepasang suami isteri bersama tiga anak mereka dan merampas 139.5 kilogram (kg) ganja bernilai RM432,614 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Mahkamah, Bayan Lepas dekat sini malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menjalankan operasi terancang dan menyerbu rumah itu pada pukul 8 malam sebelum menahan dua lelaki berusia 25 dan 49 tahun di situ.

Beliau berkata susulan soal siasat polis kemudiannya menahan seorang wanita berusia 48 tahun bersama seorang anak lelaki dan dua anak perempuan berumur 15 hingga 29 tahun yang baru pulang daripada mengerjakan solat terawih di rumah yang sama.

“Hasil pemeriksaan dalam rumah itu, polis merampas lima guni berisi 133 ketulan mampat ganja seberat 133.9kg, satu pek beg plastik mengandungi lima ketulan ganja (5kg) dan 83 peket kecil ganja seberat 0.6 kg,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Berdasarkan siasatan awal semua dadah itu diseludup dari negara jiran dipercayai menggunakan jalan darat oleh rangkaian sindiket pengedaran dadah dan dihantar kepada lelaki berusia 49 tahun itu di Bayan Lepas.

Mohamed Usuf berkata sindiket itu kemudiannya akan membungkus semula ganja tersebut dalam pelbagai saiz sebelum mengedar dan menjual kepada pelanggan di sekitar Pulau Pinang sehingga mampu mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit setiap bulan.

Katanya siasatan juga mendapati sindiket itu bergiat aktif sejak Jun tahun lepas dan kesemua dadah yang dirampas itu boleh digunakan 280,000 penagih.

“Kesemua yang ditahan itu tidak mempunyai pekerjaan, manakala remaja lelaki yang berusia 15 tahun itu sudah tidak bersekolah dan ujian air kencing mendapati seorang daripada mereka positif dadah serta turut mempunyai rekod lampau.

“Berdasarkan siasatan pasangan suami isteri itu adalah dalang utama sindiket pengedaran dadah tersebut dan polis masih menjalankan siasatan mengenai peranan tiga anak mereka dalam kegiatan itu,“ katanya.

Menurutnya lima suspek direman selama tujuh hari manakala remaja lelaki direman sehingga 26 Mac dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -Bernama