KUALA LUMPUR: Kantin sekolah dibenarkan untuk kekal beroperasi sepanjang bulan Ramadan bagi membolehkan pelajar bukan Islam menikmati makanan mereka dengan selesa, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (gambar).

“Saya tidak mahu anak-anak (pelajar) bukan Islam makan di dalam stor dan tempat yang tidak sepatutnya, padahal semua sekolah ada kantin.

“Kita (kementerian) sarankan kantin dibuka sepanjang Ramadan khususnya bagi sekolah yang mempunyai anak-anak bukan Islam,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam penggulungannya, Fadhlina turut menafikan dakwaan bahawa sekolah vernakular menggunakan silibus yang berlainan daripada yang telah ditetapkan KPM.

Beliau berkata penting bagi semua pihak memahami sekolah vernakular ditubuhkan bagi mempertahankan bahasa ibunda masyarakat Cina dan India, namun ia tidak dibenarkan mengguna pakai silibus pelajaran yang berlainan.

“Tiada langsung isu sekolah-sekolah ini mengkuti silibus yang berbeza daripada silibus KPM,” katanya.

Fadhlina juga berkata KPM sedang merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) baru bagi menetapkan hala tuju dasar pendidikan negara bagi 10 tahun akan datang.

“Terdapat empat fasa dalam penyediaan pelan pendidikan yang baru iaitu analisis terperinci pencapaian prestasi pelan pembangunan, sesi libat urus melibatkan kesemua pemain industri, guru cemerlang dan dekan fakulti untuk mendapatkan input, perancangan kumpulan berfokus serta dialog awam dan proses mendapatkan maklum balas draf sehingga mendapat kelulusan jemaah menteri,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata analisis tentang prestasi negara dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 mendapati antara perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah jurang prestasi pelajar yang berada di bandar dan luar luar bandar.

Fadhlina berkata analisis juga mendapati bantuan dan sokongan diberikan guru kepada murid di Malaysia semasa sesi pengajaran dan pembelajaran secara maya akibat wabak COVID-19 berada pada tahap jauh lebih baik berbanding negara-negara Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD). -Bernama