KUALA LUMPUR: Penyedia platform Meta dan TikTok memberikan komitmen berhubung soal keselamatan dalam talian bagi kanak-kanak di bawah umur 13 tahun.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (gambar) berkata persetujuan itu dicapai dalam satu perbincangan yang berlangsung hari ini, antara lain menyentuh berkenaan pemantauan kandungan berunsurkan jenayah seperti judi dalam talian, scam, berita palsu dan 3R (kaum, agama dan institusi raja).

“Selain itu, kedua-dua platform juga diberi makluman mengenai perancangan kerajaan menambah baik undang-undang serta garis panduan operasi platform media sosial di Malaysia.

“Ini sejajar dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk menjamin hak bersuara rakyat Malaysia sambil memastikan kegunaan Internet yang produktif, harmoni dan selamat untuk semua,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Fahmi memaklumkan Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta beberapa agensi lain akan mengadakan pertemuan dengan penyedia platform Meta hari ini bagi membincangkan aspek keselamatan dalam talian.