KUALA LUMPUR: Kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak Selasa lepas Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar, 12, ditemui selamat ketika berjalan berseorangan di kawasan lot kedai di Sri Rampai di sini, pada 2.28 pagi tadi.

Ibunya Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata penemuan anaknya itu oleh anggota polis Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi dimaklumkan kepadanya oleh Unit Rondaan Kawasan Rukun Tetangga Sri Rampai.

“Siti Dhia Batrisyia telah diserahkan kepada saya dan ketika ini kami berada di Hospital Kuala Lumpur bagi melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas anak saya ini,” katanya.

Terdahulu beliau turut berkongsi berita melegakan itu dalam kemas kini terbaharu di Facebook kira-kira 6.45 pagi.

“Allahuakbar...Allah Maha Besar. Dengan segala doa-doa serta pertolongan dari semua orang anak saya Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar telah dijumpai dengan selamat. Kami jumpa dia berjalan berseorangan pada jam 2.28 pagi,” katanya.

Syarifah Rosfazila turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk pasukan polis IPD Dang Wangi atas usaha mengesan anaknya itu.

Bernama sebelum ini melaporkan ibu kepada Siti Dhia Batrisyia itu percaya anak perempuannya bertindak keluar dari rumah di Pudu di sini disebabkan oleh perselisihan faham.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata setakat ini seramai lapan saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes.

“Kes disiasat mengikut Kertas Enkuiri Polis (KEP) Orang Hilang dan siasatan lanjut bagi melengkapkan siasatan sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata pihaknya menerima laporan polis berkenaan kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun hilang di kawasan Perumahan Awam Jalan San Peng di sini, pada 14 Mac lepas.

Menurut beliau, polis telah mengatur gerak pasukan khas untuk mengesan kanak-kanak tersebut sebaik menerima laporan dan pada 1 pagi tadi, kanak-kanak itu dikesan berada di sekitar Taman Sri Rampai di sini.

“Susulan maklumat tersebut, polis telah berjumpa dengan pihak Kawasan Rukun Tetangga kawasan itu bagi mendapatkan maklumat lanjut dan pada masa sama ibu kanak-kanak itu telah menghubungi polis memaklumkan anaknya telah ditemui orang awam ketika sedang merayau seorang diri.

“Polis telah ke lokasi dan menemui kanak-kanak itu dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.-Bernama