KOTA BHARU: Seramai 101 tahanan warga asing yang ditempatkan di Depot Imigresen Tanah Merah dekat sini dihantar pulang ke negara asal mereka semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Kelantan, Mohd Faizal Shamsudin berkata kesemua tahanan berkenaan dihantar pulang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya tahanan lelaki tersebut terdiri daripada 46 warganegara Myanmar, 21 (Indonesia), 12 (India) dan tujuh warganegara Bangladesh.

“Selain itu, lima wanita warganegara Indonesia, lima wanita (Myanmar), dua kanak-kanak (Indonesia) selain dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan (Myanmar),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya warga asing dewasa berusia dalam lingkungan 16 tahun hingga 57 tahun manakala kanak-kanak pula antara setahun hingga enam tahun.

Mohd Faizal berkata berkata kanak-kanak warga asing itu dihantar pulang bersama ibu bapa mereka.

“Kesemua mereka (tahanan) telah melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,”katanya. -Bernama