SHAH ALAM: Jasad Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu Lee Kee Hiong yang meninggal dunia Khamis lepas selamat disemadikan menerusi upacara pembakaran di Nirvana Crematorium Shah Alam, Seksyen 21, kira-kira pukul 12.50 tengah hari di sini hari ini.

Lee, 58, yang menyandang kerusi itu sejak 2013, meninggal dunia setelah bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.

Terdahulu, jasad mendiang dibawa dan diarak menaiki kereta khas dari Nirvana Centre Kuala Lumpur menuju ke krematorium berkenaan.

Suasana hiba menyelubungi upacara itu yang dihadiri saudara mara serta kenalan rapat.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin dan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Teresa Kok Suh Sim.

Sementara itu, Pemangku Ketua Wanita DAP Selangor Yeo Bee Yin yang turut hadir memberi penghormatan terakhir berkata pemergian Lee amat dirasai oleh kepimpinan wanita parti itu kerana mendiang merupakan senior yang banyak membantu serta menyokong dalam membentuk barisan pemimpin muda.

Yeo yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata sejak mendiang mengidap penyakit itu, Lee mencadangkan agar beliau memangku jawatan yang disandangnya iaitu Ketua Wanita DAP negeri sehingga pemilihan baharu pada tahun hadapan.

Berhubung calon bagi mengisi kekosongan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu, Yeo berkata setakat ini belum ada perbincangan mengenainya dan menyerahkan kepada pucuk kepemimpinan DAP negeri serta Pakatan Harapan Selangor untuk membuat keputusan. -Bernama