KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah merampas rokok dan minuman keras bernilai RM5.41 juta termasuk cukai dalam empat serbuan berasingan antara 6 hingga 18 Mac lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Mohd Nasir Deraman berkata minuman keras yang dirampas berjumlah 177,381.80 liter dengan anggaran nilai RM961,658.11, serta anggaran jumlah cukai terlibat sebanyak RM3.33 juta.

“Pelbagai rokok yang dirampas pula adalah sebanyak 930,000 batang dengan nilai RM107,112 dan cukai terlibat sebanyak RM1.01 juta,” katanya pada sidang media di Sepanggar di sini hari ini.

Beliau berkata serbuan pertama dibuat pada 6 Mac lepas dengan menahan dua kontena disyaki berisi minuman keras yang cuba diseludup masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.

“Hasil pemeriksaan terhadap kontena telah menemukan sejumlah 22,049.28 liter minuman keras dengan anggaran nilai RM167,133.54 membabitkan nilai cukai RM850,837.62,” katanya.

Mohd Nasir berkata dalam serbuan kedua pada 11 Mac, pihaknya menyerbu sebuah stor di Kampung Ramayah, Penampang dan telah merampas pelbagai minuman keras dan rokok.

Beliau berkata jumlah minuman keras yang dirampas adalah 42,568.48 liter dengan anggaran nilai RM246,333.27 serta cukai RM724,198. Sementara rokok yang dirampas adalah sebanyak 891,600 batang dengan anggaran nilai RM103,272 serta cukai RM975,013.44.

Mohd Nasir berkata lanjutan daripada serbuan itu, pada 14 Mac satu pemeriksaan telah dijalankan di sebuah taman perumahan di Penampang dan hasil serbuan menemukan tiga lori berisi minuman keras sebanyak 1,626.76 liter bernilai RM16,980.30 serta anggaran cukai RM34,251.69

Turut dirampas 38,400 batang rokok bernilai RM3,840 dengan nilai cukai RM36,864, katanya.

Mohd Nasir berkata serbuan ketiga pada 15 Mac, empat kontena ditahan di Pelabuhan Sepanggar di sini dan hasil pemeriksaan menemukan 89,088 liter minuman keras bernilai RM445,400 serta nilai cukai RM1.38 juta.

Dalam serbuan keempat pada 18 Mac lepas, dua kontena minuman keras ditahan di pelabuhan sama dan hasil pemeriksaan terhadap kontena berkenaan menemukan 22,049 liter minuman keras bernilai RM85,760 serta cukai RM348,290.

“Tiada tangkapan dibuat semasa serbuan dan siasatan lanjut sedang dilaksanakan untuk mengesan pemilik stor, pemilik kenderaan serta pengimport yang terlibat,” katanya.