SEPANG: Kementerian Pengangkutan menegaskan tiada kenaikan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) sebaliknya komponen telah diseragamkan susulan pindaan kadar untuk destinasi perjalanan Asean.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata pengendali lapangan terbang juga memerlukan perolehan untuk menguruskan keseluruhan ekosistem lapangan terbang, membayar bil air dan elektrik serta gaji pekerja.

“Sebelum ini ada satu kategori yang lebih rendah untuk Asean tetapi sekarang ini di negara-negara Asean juga adalah lapangan terbang antarabangsa, jadi diselaraskan kadarnya seperti mana-mana destinasi yang lain.

“PSC ialah caj yang dikutip oleh pengendali lapangan terbang iaitu MAHB (Malaysia Airports Holdings Bhd) dan Senai Airport (yang tidak dimiliki oleh MAHB) untuk mereka menguruskan dan menyelenggara lapangan terbang mereka dan PSC itu bukan dibayar sebagai cukai kepada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penandatanganan Perjanjian Operasi dan Perjanjian Pajakan Tanah di antara kerajaan dengan MAHB di sini, pada Isnin.

Beliau berkata kos untuk menguruskan satu lapangan terbang sangat tinggi justeru, pengendali lapangan terbang memerlukan perolehan, dan PSC adalah antara perolehan paling utama bagi pihak pengendali.

Mengenai jaminan yang pengendali lapangan terbang akan menambah baik kemudahan susulan pelarasan PSC, Loke berkata pengendali tertakluk kepada keperluan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan perlu memenuhi piawaiannya.

Pada 12 Mac lepas, Mavcom mengumumkan pindaan kepada PSC bagi Tempoh Kawal Selia Pertama (RP1), bermula 1 Jun, 2024 hingga 31 Dis, 2026.

Suruhanjaya itu memaklumkan bahawa kadar pindaan PSC baharu itu di antara RM7 dengan RM73 dikenakan kepada penumpang yang berlepas dan transfer dari Malaysia.

Kadar itu termasuk caj keselamatan iaitu caj bagi penyediaan perkhidmatan keselamatan di lapangan terbang, menurutnya.

Mavcom menjelaskan bahawa pihaknya mengekalkan PSC pelepasan domestik pada RM11 di semua lapangan terbang kecuali Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (JHB).

Berdasarkan kadar PSC baharu, PSC Asean dan destinasi melangkau Asean telah digabungkan menjadi PSC antarabangsa tunggal berjumlah RM73 bagi Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan RM50 bagi Terminal 2 KLIA berserta lapangan terbang lain, tambah suruhanjaya itu.

Kadar PSC semasa Asean dan destinasi melangkau Asean masing-masing pada RM35 dan RM73. -Bernama