SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk membatalkan saman pemula seorang wanita bagi mengisytiharkan dirinya sebagai bukan beragama Islam.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Haldar Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas meneliti afidavit dan hujahan bertulis MAINS dan wanita berusia 46 tahun tersebut selaku pemohon.

Pada prosiding hari ini, MAINS diwakili Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Danial Farhan Zainul Rijal serta Muhammad Hariz Md Yusoff manakala Kerajaan Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diwakili Peguam Kanan Persekutuan Amalina Zainal Mokhtar dan pemohon diwakili peguam S. Karthigesan.

Wanita itu, yang merupakan ahli perniagaan, menfailkan saman pemula pada 23 Mac tahun lepas dan menamakan Kerajaan Malaysia, MAINS serta JPN sebagai responden.

Menerusi saman pemula itu, beliau memohon JPN mengubah dan mengemas kini rekod maklumat peribadinya kepada agama bukan Islam di dalam sistem pendaftaran.

Pemohon juga memohon agar nama Melayunya ditukar serta-merta kepada nama India.

Bercakap kepada pemberita, Karthigesan berkata pemohon adalah seorang kanak-kanak berumur empat tahun ketika agamanya ditukar daripada Hindu kepada Islam oleh bapanya.

Zainul Rijal pula berkata MAINS mengemukakan permohonan bagi membatalkan saman pemula itu pada 28 Jun tahun lepas atas alasan antaranya pemohon adalah seorang Islam dan jika beliau ingin menukar agama, permohonan perlu dibuat di Mahkamah Syariah, bukannya Mahkamah Sivil.

Beliau berkata wanita itu juga sebelum ini telah berkahwin dengan lelaki Islam kemudian bercerai di Mahkamah Syariah Selangor. -Bernama