KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) percaya penganjuran Sukan Komanwel 2026 dapat dilaksanakan dengan bajet berpatutan menerusi model pengecilan saiz untuk kelestarian jangka panjang temasya itu.

Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib (gambar) berkata Sukan Komanwel boleh dianjurkan dalam skala rendah dengan mengurangkan bilangan sukan sehingga serendah 10 acara, meninggalkan upacara pembukaan dan penutup yang gah, serta tanpa membina kemudahan dan kampung sukan baharu untuk pengurangan ketara kos penganjuran.

Beliau berkata bajet bagi model Sukan SEA 2017 adalah kira-kira RM700 juta tidak termasuk bayaran penyiaran dan yuran lain dengan atlet dan pegawai ditempatkan di hotel sekitar pusat bandar berbanding membina kampung sukan baharu.

Katanya kerajaan yang dijangka membuat keputusan berhubung perkara itu minggu ini boleh menggunakan bajet penyediaan kemudahan Sukan SEA 2027 untuk Sukan Komanwel dan mempromosikannya sebagai sebahagian daripada Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

“Bagi Sukan SEA ada lebih kurang 40 jenis sukan, manakala hanya sekitar 15 bagi Sukan Komanwel. Dari segi saiz, Komanwel mempunyai lebih kurang 3,500 atlet atau 5,000 termasuk pegawai, manakala lebih 10,000 atlet dan pegawai terlibat dalam Sukan SEA. Sudah tentu kita boleh anjurkan temasya ini,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat pengurus pasukan Olimpik Paris 2024 di Wisma MOM di sini hari ini.

Victoria, Australia yang sepatutnya menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 menarik diri pada Julai tahun lepas disebabkan kenaikan kos penyelenggaraan dari jangkaan awal AUD2.6 bilion (sekitar RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).

Berikutan itu CGF menawarkan suntikan dana 100 juta pound (RM602 juta) kepada Malaysia yang pernah menjadi tuan rumah pada 1998 dan negara anggota lain untuk menyelamatkan sukan empat tahun sekali itu.

Sabtu lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata kerajaan akan membincangkan dengan terperinci dan mendapatkan pandangan semua pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sebelum membuat keputusan muktamad berhubung tawaran untuk Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Ditanya mengenai kemungkinan untuk Malaysia menjadi tuan rumah bersama Singapura, Mohd Nazifuddin berkata keputusan itu hanya boleh dibuat kerajaan.

Sementara itu Mohd Nazifuddin berkata beliau lebih cenderung untuk sukan itu diadakan pada 2026, daripada menangguhkan selama setahun ke 2027.

“Memang ada cadangan juga untuk bincang tangguhkan pada 2027, tetapi lebih baik pisahkan Sukan SEA dan Komanwel. Pada 2026 sesuai untuk gunakan sebagai tarikan buat Malaysia sempena TMM 2026 untuk menyambut kontinjen dari lebih 70 negara tetapi bergantung kepada kerajaan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya diperkenalkan sukan baharu seperti sepak takraw dalam temasya Sukan Komanwel untuk meningkatkan koleksi pingat negara. -Bernama