KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) menahan empat pengemis termasuk seorang warga Thailand dalam Operasi Bersepadu Ramadan Siri 1 hari ini.

Sumber MPKB memaklumkan kesemua lelaki terbabit mendakwa hanya mengemis pada setiap Ramadan kerana mengambil kesempatan kebaikan hati penduduk tempatan.

Beliau berkata pengemis warga Thailand berusia 84 tahun yang ditahan di Bazar Buluh Kubu mendakwa datang ke negara ini dari Wilayah Narathiwat, Thailand sejak seminggu lepas.

“Dia mendakwa turut menjual minyak angin panas dan masuk menggunakan Pas Sempadan serta menjadikan masjid berdekatan untuk bermalam,” kata sumber berkenaan kepada pemberita hari ini.

Sumber memaklumkan terdapat seorang pengemis menyamar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) dengan mendakwa mengalami kecacatan pada bahagian kaki akibat kemalangan lalu terpaksa mengemis di Jalan Kebun Sultan, di sini, untuk meneruskan hidup.

Menurutnya lelaki berusia 36 tahun dan berasal dari Kubang Kerian itu menggunakan tongkat sokongan, namun bertindak melarikan diri ketika cuba ditahan penguat kuasa MPKB.

Sumber itu memaklumkan operasi bersepadu berkenaan melibatkan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia manakala kesemua pengemis ditahan diserahkan kepada JKM untuk tindakan selanjutnya. -Bernama