MELAKA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memantau rapi paras air di empangan di setiap negeri untuk melihat sekiranya pembenihan awan perlu dilakukan, kata Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Kadang-kadang ada permintaan daripada pihak negeri untuk pembenihan awan, bila empangan tadahan (paras) air dah terlalu rendah, maka kita akan lihat sama ada sesuai dibuat atau tidak (pembenihan awan)... setakat ini belum ada permintaan lagi.

“Kita akan ambil kira beberapa faktor (sebelum membuat pembenihan awan) kerana kos terlibat adalah tinggi... maknanya bila kita buat operasi pembenihan awam, kita nak ia berhasil, kalau tak ia dibazirkan begitu sahaja,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Syarikat Megatrex Plastic Industries Sdn Bhd di sini hari ini.

UTeM diwakili Naib Canselornya Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin bersama Dekan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKILP) Prof Dr Hambali Ariff manakala Syarikat Megatrex Plastic Industries Sdn Bhd pula diwakili Pengarah Urusannya Datuk Lim Kah Chuan dan Ketua Pegawai Eksekutif Megatrex Johor Datuk Ayub Rahmat.

MoA itu merupakan kerjasama dalam bentuk penyelidikan dan pengembangan protokol klasifikasi bahan buangan elektrik dan elektronik tidak berbahaya serta mekanisme kawalan hijau bagi perdagangan antarabangsa yang merupakan satu langkah proaktif dan signifikan dalam membangun ekosistem kitar semula negara.

Mengulas mengenai MoA yang ditandatangani hari ini Nik Nazmi berkata dapatan daripada penyelidikan berkaitan bahan buangan elektrik dan elektronik akan dijadikan sebagai maklumat untuk kerajaan membangunkan kerangka bagi dasar berkaitan bahan buangan tersebut di peringkat kebangsaan.

Beliau berkata Malaysia dijangka mempunyai kira-kira 24.5 juta unit bahan buangan elektrik dan elektronik pada 2025 dan ia merupakan satu isu yang sangat serius untuk ditangani pada masa depan.

Katanya bagaimanapun ia juga memberi peluang kepada negara untuk menjana pendapatan menerusi aktiviti ‘urban mining’ bagi mendapatkan semula bahan-bahan logam dan nadir bumi yang terdapat di dalam barangan elektrik dan elektronik berkenaan.

“Ini merupakan salah satu alternatif kepada kaedah konvensional yang (sebelum ini) memberi kesan besar kepada alam sekitar,“ katanya. -Bernama