PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menyarankan pemimpin-pemimpin dalam kerajaan mencari jalan atau kaedah bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat di kampung halaman masing-masing.

Anwar yang juga Menteri Kewangan percaya langkah sedemikian mampu menyelesaikan separuh daripada permasalahan berkaitan isu sosial, kewangan dan pendidikan di kawasan luar bandar.

“Sebagai anak kampung, kita harus ambil tanggungjawab ini. Saya mulakan dengan Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam (Pulau Pinang).

“Dalam seminggu ini saya terpaksa hubungi rakan atau balik kawasan untuk tentukan wakil wanita, wakil belia, jawatankuasa masjid, jawatankuasa kampung supaya semua ada tanggungjawab untuk menyampaikan (memaklumkan) kemudahan dan keperluan mereka (penduduk) termasuk keluarga miskin, kedudukan pendidikan di sekolah, masalah dadah di kampung. Semua ini harus diambil tahu,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada program Bicara Eksekutif Malaysia MADANI Penjawat Awam 2024 bertajuk Bina Kota: Kemampanan, Kesejahteraan dan Daya Cipta Tunjang Membangun Malaysia MADANI di sini hari ini.

Menyentuh peranan rakyat dalam mengangkat darjat negara, Anwar menasihatkan agar sebarang perbincangan jumud dan lapuk dihentikan demi menyelamatkan dan melonjakkan negara daripada berada dalam situasi kelembapan.

Beliau berpandangan bahawa negara harus maju dan memberi tumpuan kepada aspek pengetahuan, penerokaan ilmu baharu dan teknologi digital melalui semangat perpaduan serta kesatuan dalam masyarakat.

“Tidak ada untungnya jika masing-masing rasa mahu menang dengan menanam kebencian dan mencerca orang lain kerana ia tidak akan memenangkan negara dalam semua aspek,” katanya.

Perdana Menteri berkata beliau mahukan supaya suatu bangsa yang hebat diangkat bukan kerana mencerca kaum lain, tetapi cerminan kebaikan daripada bicara, kepimpinan, sikap, budaya, disiplin dan integriti.

Beliau mahukan supaya perkara-perkara ini ditekankan, kerana sifat mencerca kaum lain sama sekali tidak mendatangkan manfaat kepada masyarakat dan negara.

“Tidak menang kita dengan sorakan menghina orang lain, melainkan dengan integriti, kewibawaan dan keterampilan kita,” katanya. -Bernama