KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menonjol dalam kalangan pemimpin negara-negara perdagangan kerana pendiriannya yang lantang bersuara mengenai krisis kemanusiaan di Gaza.

Melalui lawatannya ke Australia dan Jerman baru-baru ini untuk meningkatkan hubungan dua hala dengan kedua-dua negara, Anwar tetap berpegang teguh dengan pendapatnya terutama melibatkan konflik di Asia Barat.

Penganalisis politik Rahman Hussin berkata Anwar tetap setia dengan perjuangannya kerana sebelum menjadi Perdana Menteri Malaysia, beliau adalah penyokong Palestin dan Hamas.

“Beliau sentiasa lantang bersuara mengenai krisis kemanusiaan di Gaza dan saya suka bila beliau nyatakan “bukan semua bermula atau berakhir pada 7 Okt”.

“Kenyataannya beliau berkata: tiada apa yang kita lakukan hari ini boleh menolak 60 tahun kekejaman yang telah berlaku kepada rakyat Palestin”.

“Dan beliau telah membuat kenyataan itu dan beliau telah mempertaruhkan pendiriannya yang membuktikan bahawa beliau tidak menyimpang daripada apa yang sebenarnya beliau percayai dalam soal perjuangan Palestin,” katanya yang menjadi tetamu dalam rancangan bual bicara, The Nation di Bernama TV, Jumaat.

Rahman juga berkata lawatan Perdana Menteri ke Jerman baru-baru ini telah menonjolkan keupayaan Malaysia, terutamanya dalam kalangan pemimpin kita.

Beliau berkata dalam pertemuan perdagangan dua hala dengan rakan sejawat asing sentiasa menjadi peluang bagi mereka untuk menunjukkan contoh kepemimpinan. -Bernama