SEREMBAN: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menganiayai seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di sebuah rumah di Mantin, Nilai bagi tempoh antara April 2023 hingga 23 Mac lepas.

Bapa tiri dan ibu kandung mangsa membuat pengakuan tersebut, sebaik pertuduhan bersama dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A. Aziz, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Kedua-dua suami isteri itu, dituduh secara bersama sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, telah menganiayai atau bertindak secara cuai menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dengan cara memukul menggunakan rotan dan penyangkut baju di tubuh badan mangsa.

Perbuatan dilakukan antara bulan April 2023 sehingga 23 Mac, bertempat di sebuah kediaman di Mantin dna didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Syamimi menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 setiap seorang, namun mahkamah memutuskan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Mahkamah juga menetapkan 17 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.