KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pegawai penguat kuasa, disyaki menerima wang rasuah RM500 sebulan berjumlah RM4,000 daripada syarikat pengurup wang berlesen, sebagai balasan melindungi perniagaan syarikat itu.

Menurut sumber suspek lelaki berusia 40-an itu, dipercayai menerima wang rasuah itu daripada seorang individu, secara pindahan wang sebanyak RM500 bagi setiap transaksi dari tahun 2020 sehingga 2021.

“Suspek telah ditahan kira-kira jam 9.00 pagi tadi ketika hadir bagi memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah,” kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi pemberita mengesahkan penahanan tersebut dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Kota Kinabalu untuk pertuduhan esok. -Bernama