KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu melaksanakan tiga strategi untuk mengukuhkan fiskal negeri iaitu mengawal perbelanjaan, mengoptimumkan perolehan hasil daripada sumber sedia ada dan mengeksplorasi sumber baharu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pada masa sama, jentera kerajaan negeri di semua peringkat mesti mempertimbangkan semula keperluan, kebolehlaksanaan dan keutamaan setiap projek yang telah dirancang.

“Inisiatif yang akan diteruskan mestilah menepati lima kriteria iaitu selari dan berimpak tinggi kepada sasaran dan strategi utama Belanjawan 2024, mudah dan cepat untuk dilaksanakan, melibatkan kos yang tidak membebankan kewangan kerajaan negeri, memberi atau meraih manfaat untuk jangka panjang dan boleh diubah suai supaya mengikut keperluan dan keadaan semasa,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata untuk mengoptimumkan perolehan hasil daripada sumber sedia ada pula, Terengganu mesti menambah baik aspek perundangan dan amalan terbaik berkaitan kutipan hasil.

Beliau berkata hal itu termasuk meningkatkan kecekapan kutipan hasil menerusi penguatkuasaan dan pendigitalan dan menyemak semula pelaksanaan semua pemberian kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri supaya selari dengan undang-undang dan serasi dengan situasi semasa.

Mengenai rancangan dan usaha untuk mengeksplorasi dan mengeksploitasi sumber hasil baharu, beliau berkata inisiatif itu kini tertumpu kepada pembangunan industri nadir bumi dan tenaga boleh diperbaharui yang semakin besar kerangka dan potensi.

“...hinggalah mencangkupi biojisim, tenaga lautan menerusi janaan kinetik ombak dan arusnya, dan potensi besar tenaga hidrogen menerusi taman hidrogen hijau (green hydrogen park) di lokasi yang sedang kita kenal pasti, untuk berbagai aktiviti hidrogen hijau ini.

“...langkah-langkah ini mestilah dilaksanakan dengan teliti, tetapi mesti pantas dan proaktif, untuk memastikan hasil dan manfaat yang maksimum kepada kerajaan negeri dan rakyatnya,“ katanya.

Ahmad Samsuri berkata kerajaan Pusat telah membayar royalti petroleum berjumlah RM802.2 juta berbanding anggaran asal RM1.52 bilion, membabitkan RM651 juta untuk emolumen, RM109 juta (pembayaran tertunda dan berjadual) dan RM42.1 juta (bayaran balik hutang kerajaan Persekutuan).

Untuk pemberian pertama tahun semasa, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang berkata Terengganu telah menerima bayaran RM301.7 juta berbanding anggaran RM762 juta, dengan pembayaran kedua dijangka pada September ini.

Sementara itu, beliau turut memberi jaminan bahawa Terengganu akan terus menjalinkan hubungan erat secara profesional dengan kerajaan Persekutuan berasaskan peruntukan perundangan demi kesejahteraan rakyat.

“Bagi kerajaan negeri, masa untuk bermain politik dendam, politik tindas-menindas dan sebagainya merupakan politik kuno yang wajar ditinggalkan bukan sahaja di Terengganu, tetapi oleh seluruh rakyat Malaysia.

“...tiada faedah dan tiada manfaatnya untuk sesebuah kerajaan negeri bersifat keras atau bergaduh dengan kerajaan Pusat dan begitulah sebaliknya,“ katanya.

Beliau berkata kedua-dua pihak mempunyai objektif yang sama untuk membangunkan negeri dan negara dan Keluaran Dalam Negara Kasar Negara juga disumbangkan oleh semua negeri.

“Salah sangka dan mencurigai antara sesebuah kerajaan Pusat dan negeri adalah satu keadaan tiada siapa yang menang (no win situation), di mana hakikatnya hati mungkin puas, tetapi kedua-duanya juga akhirnya yang akan rugi,“ katanya.