VOLVO Trucks baru-baru ini telah melancarkan inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya.

Ia melibatkan sumbangan sebuah lori tugas berat Volvo FM330 4x2 yang lengkap dengan badan yang dibina khas untuk Kechara Soup Kitchen Society (KSK).

KSK adalah sebuah organisasi bukan berteraskan keuntungan yang menyediakan makanan dan penjagaan kesihatan asas kepada golongan gelandangan dan miskin di Malaysia.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat Volvo Group di peringkat global yang dijalankan setiap tahun di seluruh dunia.

Matlamat utamanya adalah untuk memberikan persekitaran berkebajikan yang lebih baik dan selesa kepada komuniti setempat dengan menyokong usaha-usaha kemasyarakatan.

Lori untuk KSK tersebut akan dipakai sebagai kenderaan pelbagai guna untuk mengumpul dan mengedar makanan, sebagai klinik dan ruang bergerak bagi menjalankan aktiviti-aktiviti penjagaan kesihatan dan pendidikan kepada golongan miskin di kawasan luar bandar.

Pengarah urusan Volvo Malaysia, Mitch Peden, berkata: “Kami di Volvo Trucks sangat teruja memilih KSK sebagai penerima dana tanggungjawab sosial korporat kami, “Seasonal Gift”.

“Keputusan untuk menyumbang sebuah lori kepada KSK sememangnya satu tindakan yang logik kerana semua kerja kebajikan mereka selari dengan nilai-nilai utama Volvo Trucks iaitu kualiti, keselamatan dan penjagaan alam sekitar.

“Kerja-kerja kebajikan KSK menyumbang kepada pengurangan masalah kebuluran dan isu-isu sosial, lalu meningkatkan kualiti hidup golongan gelandangan dan keluarga miskin tanpa mengira latar belakang.

“Kami juga tahu bahawa KSK memang aktif dalam menjalankan program tabung makanan dan berdepan dengan pelbagai cabaran logistik.

“Jadi, kami percaya trak Volvo ini akan mampu membantu KSK beroperasi dengan lebih efektif demi manfaat masyarakat.

“Di Volvo Trucks, dedikasi kepada aspek tanggungjawab sosial bermakna kami menyokong pelbagai projek berkaitan kesihatan, keselamatan dan pendidikan.

“Kebanyakan komitmen sosial kami tertumpu kepada masyarakat setempat di mana kami boleh memberi kebaikan yang besar kepada mereka.”

Mengulas mengenai sumbangan lori tersebut, Volvo Trucks memberitahu ia bakal mengambil masa beberapa bulan untuk memastikan lori berkenaan siap.

Ini adalah kerana ia melibatkan pelbagai aspek seperti reka bentuk, merancang, membina badan lori binaan khas, mendapatkan lesen dan kelulusan. Jadi, penyerahan lori dijangka akan dilakukan pada suku kedua tahun depan.

$!Volvo Trucks sumbang lori kepada Kechara Soup Kitchen

Selaku penaja utama, Volvo Trucks akan bekerjasama dengan Seri Zenith Engineering Sdn Bhd, pengilang trailer dan badan kenderaan komersial untuk merancang serta memfabrikasi badan lori khas bagi kegunaan KSK.

Menurut Peden, dana yang diperlukan untuk fabrikasi badan trak adalah berjumlah RM150,000.

Volvo Trucks berharap dapat mengumpul dana berkenaan dan ingin menjemput badan-badan korporat untuk menaja pakej Platinum bernilai RM15,000 atau pakej Emas sebanyak RM5,000, di mana logo-logo penaja Platinum akan dilekatkan pada badan trak.

Semua lebihan dana daripada kos fabrikasi badan trak akan disumbangkan kepada KSK.

Mana-mana pihak yang ingin membuat sumbangan boleh berhubung dengan ibu pejabat Volvo Trucks di Shah Alam atau menyumbang secara terus ke nombor akaun Maybank Kechara Soup Kitchen: 5122-3133-4874 dan rujuk kepada ”Volvo Food Truck”.

Semua sumbangan untuk inisiatif ini layak untuk menerima pengurangan cukai.

Selain menyumbang sebuah casis lori dan mengetuai insiatif ini, Volvo Trucks juga akan membayar kos mendapatkan Lesen Membawa Barang (GDL) untuk pemandu, pembaikan dan penyelenggaraan lori.

Bukan itu sahaja, Volvo Trucks juga akan menyediakan latihan percuma kepada pemandu lori KSK untuk mengetahui cara-cara memaksimakan semua ciri keselamatan dan penjimatan bahan api yang ada pada lori Volvo FM itu.

“Sebagai jenama peneraju lori tugas berat dalam industri, adalah penting bagi kami untuk mengalu-alukan dan menggalakkan komuniti lori untuk sama-sama menjadi sebahagian daripada projek yang penuh makna ini. Kami percaya projek ini boleh menjadi satu inisitif kemasyarakatan yang hebat dan memberi kesan lebih besar.

“Bukan sekadar menyumbang sebuah lori, saya juga tidak sabar untuk menggalakkan semua kakitangan Volvo Trucks dan pelanggan supaya turut serta dalam pelbagai kerja-kerja kebajikan yang dikendalikan oleh KSK.

“Apa yang pasti, kami mahu mencipta nilai dan kelestarian dalam kalangan msyarakat di mana kami beroperasi.” Kata Peden.

Peden juga memberitahu bahawa Malaysia ialah salah satu daripada tujuh negara di mana Volvo beroperasi di peringkat global yang telah dianugerahkan dengan dana tanggungjawab sosial korporat “Seasonal Gift”.

Ini merupakan kali kedua Volvo Trucks di Malaysia menerima dana tersebut.

Pada tahun 2017, Volvo Trucks menggunakan dana itu untuk komuniti Bario di Sarawak dengan membina sistem pemadam api di rumah panjang. Selain membina lima pondok eko di sepanjang laluan warisan masyarakat Kelabit di dalam hutan.

“Ini memang membuktikan pentingnya pasaran Malaysia kepada kami. Persetujuan yang diterima daripada ibu pejabat global untuk menjalankan projek-projek kebajikan berimpak tinggi dan menyumbang kembali kepada komuniti di sini nyata membuatkan ulang tahun ke-50 di Malaysia pada tahun ini lebih bermakna,” kata Peden.

$!Volvo Trucks sumbang lori kepada Kechara Soup Kitchen

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image