JOHOR BAHRU: Kesemua lapan kes Tibi dengan satu kematian di Flat Tasek 64, Bandar Seri Alam, Masai di sini sepanjang tahun lalu ialah sporadik serta tidak mempunyai epid-link antara satu sama lain, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohtar Pungut@Ahmad berkata kes kematian yang dilaporkan merupakan pesakit yang lewat mendapatkan rawatan dan telah mendapat komplikasi jangkitan Tibi semasa hadir ke fasiliti hospital untuk rawatan.

“JKN Johor sentiasa memberi komitmen dalam menangani penularan penyakit berjangkit dan memastikan rawatan yang optima diberikan kepada pesakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan selepas tular di portal astroawani.com pada 11 Mac, berita berkaitan 10,000 penduduk flat diancam penyakit Tibi berikutan kediaman mereka di Flat Tasek 64 dikenal pasti sebagai kawasan mudah dijangkiti penyakit itu.

Mohtar berkata penyakit Tibi boleh dicegah dan mempunyai rawatan yang efektif dengan tempoh rawatan minima selama enam bulan, namun boleh membawa maut sekiranya tidak mendapatkan rawatan awal atau rawatan yang lengkap.

Justeru itu, katanya orang ramai diingatkan agar segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala batuk berpanjangan.

“Disamping itu, pesakit Tibi juga perlu komited dalam mematuhi arahan rawatan yang ditetapkan bagi mengelakkan keciciran rawatan dan kejadian kuman Tibi rintang ubat yang boleh memanjangkan tempoh rawatan dan menyebabkan penularan penyakit kepada orang lain,” katanya. -Bernama