KUANTAN: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dikhuatiri lemas manakala empat rakannya selamat selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Pantai Cempaka di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada kira-kira 4.30 petang.

Beliau berkata Nazrul Aimi Shah Kamarul Bahri, yang beralamat di Taman Kempadang Perdana di sini, dikatakan ke pantai itu pada 3.30 petang bersama empat rakannya.

“Semasa mandi di tepi pantai itu, mereka dipukul ombak dan telah dihanyutkan arus ke kawasan agak dalam namun empat rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai manakala mangsa didapati telah hilang,“ menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata siasatan awal mendapati keadaan pantai berombak tinggi dan air laut pasang selain angin kencang.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan dengan tumpuan rondaan di sepanjang pesisir Pantai Cempaka hingga ke Pantai Sepat. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image